ASIA
2 min membaca
Thailand gesa dialog ASEAN dengan kerajaan baharu Myanmar
Sihasak, yang telah mengadakan pertemuan dengan Min Aung Hlaing dua minggu lalu, menegaskan keperluan untuk memulihkan hubungan diplomatik, termasuk di peringkat menteri-menteri luar.
Thailand gesa dialog ASEAN dengan kerajaan baharu Myanmar
Sihasak Phuangketkeow mencadangkan satu pertemuan diadakan di luar mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat. / Reuters

Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow merancang untuk menjemput rakan sejawatnya dari Myanmar bagi bertemu diplomat tertinggi serantau.

Langkah ini bertujuan membina konsensus dalam kalangan anggota ASEAN bagi meningkatkan penglibatan dengan kerajaan baharu yang disokong pihak tentera di negara yang bergolak itu.

Sebelum ini, ASEAN menyekat pemimpin junta Myanmar daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi susulan rampasan kuasa pada 2021.

Bagaimanapun, selepas pilihan raya awal tahun ini yang menyaksikan kemenangan parti pro-tentera, Jeneral Min Aung Hlaing telah mengangkat sumpah sebagai presiden pada bulan lalu, sekali gus mengukuhkan kuasa politiknya.

Sihasak, yang telah mengadakan pertemuan dengan Min Aung Hlaing dua minggu lalu, menegaskan keperluan untuk memulihkan hubungan diplomatik, termasuk di peringkat menteri-menteri luar.

Beliau mencadangkan agar satu pertemuan diadakan di luar mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat.

"Beliau (Menteri Luar Myanmar) boleh memberi taklimat kepada kami mengenai perkembangan terkini dan rancangan mereka. Kemudian kita boleh bermula dari situ. Ini satu proses yang kita boleh ambil selangkah demi selangkah," kata Sihasak dalam satu temu bual bersama Reuters.

Walaupun beberapa negara anggota ASEAN sebelum ini mengambil langkah berhati-hati untuk mengiktiraf kerajaan baharu tersebut, Sihasak menegaskan blok serantau itu perlu mengambil tindakan segera bagi menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

Beliau dijangka membincangkan cadangan tersebut pada sidang kemuncak pemimpin di Filipina minggu ini.

"Kami mahu bergerak bersama secara kolektif dengan ASEAN. Tetapi kita harus bergerak. Kita harus lakukan sesuatu. Thailand tiada niat untuk membuat paksaan secara unilateral," tambahnya lagi.

Walaupun pelan damai "Konsensus Lima Perkara" sebelum ini gagal menghentikan konflik yang telah mengorbankan lebih 6,800 orang awam, Thailand berkata ia tetap optimis.

Semasa memegang jawatan pengerusi ASEAN tahun lalu, Malaysia menekankan kepentingan pelan damai tersebut, serta menegaskan Myanmar perlu menghentikan keganasan, memulakan rundingan dan memudah cara penyaluran bantuan kemanusiaan.

Sihasak dalam pada itu turut menyuarakan kebimbangannya terhadap tokoh demokrasi, Aung San Suu Kyi, yang kini di bawah tahanan rumah, dengan menyatakan fokus utamanya adalah untuk memastikan beliau berada dalam kesihatan yang baik dan keadaan yang lebih selesa.

SUMBER:Reuters