BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
Isu peluru berpandu NSM: Malaysia akan guna saluran diplomatik dengan Norway
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu diambil susulan perubahan dasar kerajaan Norway yang memberi kesan kepada kelulusan eksport pertahanan mereka.
Isu peluru berpandu NSM: Malaysia akan guna saluran diplomatik dengan Norway
Khaled Nordin berkata kementerian sedang meneliti alternatif dan tindakan yang wajar tanpa menjejaskan hubungan antara Malaysia dan Norway. (FAIL) / User Upload

Kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pembatalan perolehan peluru berpandu anti-kapal (NSM) daripada syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace ASA (KDA), menurut laporan New Straits Times.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu diambil susulan perubahan dasar kerajaan Norway yang memberi kesan kepada kelulusan eksport pertahanan mereka.

Menurut Mohamed Khaled, kementeriannya mengambil maklum bahawa perubahan pendirian negara Eropah tersebut telah menjejaskan pelaksanaan kontrak yang sepatutnya melengkapkan keupayaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau menegaskan bahawa perbincangan lanjut perlu diadakan bagi memastikan kepentingan strategik negara.

"Kementerian juga mengambil perhatian terhadap perubahan pendirian kerajaan Norway berkaitan kelulusan eksport pertahanan yang memberi kesan kepada pelaksanaan kontrak berkenaan. Sehubungan itu, kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan penjelasan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Isu ini mula mendapat perhatian selepas sebuah portal pertahanan melaporkan bahawa Mohamed Khaled telah dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut oleh wakil KDA sewaktu Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, baru-baru ini.

Walaupun proses perolehan aset tersebut kini tergendala, beliau memberi jaminan tahap kesiapsiagaan TLDM akan terus dipantau agar sentiasa berada pada tahap terbaik.

Pihak kementerian sedang meneliti alternatif dan tindakan susulan yang wajar tanpa menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan Norway.

"Tindakan seterusnya akan diambil selepas mengambil kira kepentingan strategik pertahanan negara selain menjaga hubungan baik kedua-dua negara yang sudah terjalin sejak sekian lama," tambah beliau bagi mengulas hala tuju kerjasama pertahanan tersebut.