Fokus utama Kerajaan MADANI ketika ini bukan sekadar menstabilkan harga, tetapi juga memberi tumpuan khusus kepada usaha memastikan bekalan asas negara sentiasa terjamin dalam mendepani ketidaktentuan global, tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa, yang membincangkan strategi menguruskan krisis rantaian bekalan dan lonjakan kos sara hidup yang kian meruncing susulan konflik berterusan di Asia Barat.
"Keutamaan kita bukan sekadar menstabilkan harga, tetapi memastikan bekalan asas kekal terjamin serta mengurangkan impak lonjakan kos mendadak kepada rakyat," tegas beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Anwar, kerajaan sedang menguruskan situasi mencabar ini secara berfasa dengan berpaksikan kepada data yang tepat, penglibatan aktif bersama pemain industri, serta tindakan segera di peringkat lapangan bagi melindungi kebajikan rakyat.
Mesyuarat tersebut juga menggariskan lima keutamaan strategik, termasuk menstabilkan bekalan tenaga, mengawal tekanan kos, memastikan kelangsungan projek-projek penting, melindungi pendapatan keluarga, serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.
Anwar turut menambah bahawa kekuatan asas ekonomi Malaysia harus diterjemahkan kepada tindakan yang lebih tersusun.
Dengan memperkasakan peranan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), beliau yakin negara mampu bangkit dengan lebih berdaya tahan dalam mendepani sebarang kejutan ekonomi luar.










