Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Malaysia tidak akan mempertimbangkan atau menyokong sebarang permohonan pengampunan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Bercakap kepada media mengenai pendiriannya terhadap permohonan pengampunan Jho Low, Anwar berkata perkara tersebut bukan satu isu yang perlu diperdebatkan oleh pihak kerajaan.
"Tiada isu. Kita tidak akan mempertimbangkan perkara itu. Tiada isu," kata Perdana Menteri ringkas ketika ditanya sama ada beliau menentang usaha pengampunan tersebut.
Menyentuh mengenai kemungkinan kerajaan Malaysia membantah secara rasmi kepada kerajaan AS berhubung pengampunan itu, Anwar menjelaskan Malaysia tidak akan mencampuri urusan domestik negara berkenaan namun tetap dengan pendirian untuk tidak menyokong perkara tersebut.
"Mengenai keputusan AS, kita tidak akan mengambil jalan yang sama. Kita tidak menyokong. Tetapi sudah tentu untuk Amerika Syarikat, itu urusan mereka sendiri," jelas beliau.
Anwar turut menambah bahawa beliau tidak tahu sekiranya Jho Low telah mengemukakan permohonan rasmi dan menegaskan bahawa individu berkenaan masih lagi tertakluk kepada proses mahkamah yang sedang berlangsung.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai "bukan isu yang patut dibincangkan" buat masa ini.













