Lebih 80,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang menampilkan perarakan besar-besaran serta pertunjukan aset ketenteraan darat dan udara pada Isnin.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat menghadiri sambutan itu dan menyampaikan ucapan Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Wan Azizah Wan Ismail.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan itu menghimpunkan 10,819 peserta menerusi puluhan kontinjen, 22 pancaragam, 11 kenderaan berhias, 328 aset darat, laut dan udara serta 112 haiwan perkhidmatan.
Persembahan grafik manusia pula menampilkan 26 formasi yang menggambarkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Antara tumpuan utama ialah perarakan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk kereta kebal, kenderaan tempur infantri, artileri dan kenderaan sokongan, sebelum ruang udara Putrajaya dimeriahkan dengan pertunjukan pesawat pejuang dan helikopter.
Pesawat tentera turut melakukan penerbangan formasi dan manuver sambil melepaskan suar, sekali gus mencuri perhatian ribuan pengunjung.
Selepas acara berakhir, Anwar berjalan kira-kira 500 meter di sekitar kawasan sambutan sambil beramah mesra dengan orang ramai dan kira-kira 1,500 peserta persembahan grafik manusia.




























