Kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh daya tahan sektor pembuatan negara yang kini berdepan tekanan susulan krisis bekalan dunia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, langkah ini penting memandangkan sektor tersebut, terutamanya industri plastik, merupakan tulang belakang kepada pelbagai industri strategik negara termasuk pembungkusan makanan, elektrik dan elektronik, automotif serta peranti perubatan.
Anwar menegaskan kebajikan dan kelangsungan pemain industri tempatan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
Sehubungan itu, katanya satu pelan tindakan tumpuan sedang dirangka bagi menangani isu rantaian bekalan dan peningkatan kos operasi yang menghimpit sektor berkenaan ketika ini.
"Saya telah mengarahkan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) bersama Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan libat urus lanjut dengan pihak industri bagi merumuskan penyelesaian yang dapat mengurangkan tekanan kos serta memastikan keseluruhan ekosistem pembuatan negara terus berdaya tahan dalam jangka panjang," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam.
Selain isu pembuatan, mesyuarat MTEN turut memperincikan kedudukan semasa keterjaminan makanan negara yang dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan mencukupi.
Katanya kerajaan komited memastikan bekalan makanan ruji terus terjamin, harga kekal terkawal, di samping memelihara kebajikan golongan pesawah serta pengeluar makanan tempatan.
Isu keselamatan negara turut diberi tumpuan serius melalui pembentangan agenda pengurusan pelarian.
Kerajaan kini sedang melaksanakan pendaftaran pelarian secara lebih teratur dengan memanfaatkan teknologi serta analitik data bagi mengekang aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan kemasukan warga asing tanpa izin melalui laluan tikus.
Anwar menegaskan kedaulatan undang-undang negara mengatasi segalanya dan tiada mana-mana pihak yang akan terlepas daripada tindakan jika didapati bersalah.
Beliau berkata tiada mana-mana pelarian yang kebal daripada tindakan undang-undang di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, termasuk mereka yang memegang kad UNHCR.


















