ASIA
2 min membaca
Malaysia intai laluan darat melalui Thailand lonjak eksport durian ke China
Langkah itu disifatkan tepat pada masanya berikutan lambakan bekalan raja buah itu di pasaran domestik susulan musim luruh yang berlaku serentak di beberapa buah negeri ketika ini.
Malaysia intai laluan darat melalui Thailand lonjak eksport durian ke China
(FAIL) Mohamad Sabu berkata usaha menghubungkan pasaran ini dibuat bagi menyokong para pengusaha durian tempatan. / Reuters

Kerajaan Malaysia sedang mengadakan rundingan intensif dengan pihak berkuasa Thailand serta Pentadbiran Am Kastam China (GACC) bagi mewujudkan laluan darat dan kereta api yang khusus untuk mengeksport durian tempatan ke China, lapor BERNAMA.

Langkah strategik ini bukan sahaja dijangka dapat mengurangkan kos logistik berbanding pengangkutan udara yang mahal, malah bakal memperluas akses pasaran ke bandar-bandar kecil di republik berkenaan yang mempunyai potensi ekonomi yang besar.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha proaktif kementerian untuk menyokong para pengusaha durian tempatan.

Langkah itu disifatkan tepat pada masanya berikutan lambakan bekalan raja buah itu di pasaran domestik susulan musim luruh yang berlaku serentak di beberapa buah negeri ketika ini.

"Menteri Pertanian Thailand telah bertemu saya, dan kita akan berbincang bagaimana untuk memudahkan urusan eksport ke China melalui laluan darat dan kereta api. Kita sedang dalam perbincangan intensif dengan Thailand dan GACC," katanya kepada BERNAMA.

Beliau menambah, lambakan buah ekoran musim serentak di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Pahang itu telah menyebabkan penurunan harga di peringkat ladang, sekali gus membolehkan pengguna domestik menikmati pilihan premium seperti Musang King dan Duri Hitam pada harga lebih murah.

Laluan darat baharu ini dijangka membuka peluang kepada pengeksport untuk menembusi bandar-bandar kecil di China yang mempunyai kepadatan sekitar dua juta penduduk bagi setiap bandar.

Menyentuh tentang sektor pertanian Johor, Mohamad memuji pencapaian negeri tersebut yang kekal menjadi antara pengeluar utama komoditi makanan negara, termasuk nanas, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Kempen pembangunan industri nanas oleh kementerian, kata Mohamad, berjaya mencatatkan lonjakan pengeluaran sebanyak 100 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, di samping berjaya menarik minat golongan peladang muda.

Namun, di sebalik perkembangan positif itu, beliau mengingatkan bahawa Malaysia masih perlu mempertingkatkan tahap sara diri (SSL) bagi beberapa komoditi utama negara seperti beras, daging dan bijian jagung untuk makanan ternakan.

Mengambil contoh lawatan kerja beliau ke Iran yang berjaya memenuhi 85 peratus keperluan makanan domestik mereka sendiri, Mohamad menegaskan kementerian sedang melaksanakan usaha intensif agar Malaysia mampu mengeluarkan sekurang-kurangnya 30 peratus keperluan bijian tempatan menjelang tahun 2030.