Pihak berkuasa berjaya merampas 75,578 mesin perlombongan mata wang kripto dan menahan 629 individu dalam serbuan besar-besaran di 3,049 lokasi di seluruh negara, sejak tahun 2022 hingga Mei lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah agresif itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam membanteras sindiket perlombongan haram yang sering dikaitkan dengan kecurian bekalan elektrik.
Beliau menyuarakan keterbukan KDN untuk bekerjasama dalam menambah baik perundangan serta mekanisme penguatkuasaan sedia ada.
Shamsul Anuar menegaskan, tindakan rentas kementerian adalah kunci utama bagi memastikan aktiviti itu dapat dibendung secara menyeluruh dan lebih cekap.
"Dari sudut penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menjalankan siasatan bagi pelanggaran di bawah bidang kuasanya, termasuk kesalahan khianat dan yang berkaitan, mengikut perundangan sedia ada," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong menjelaskan, kes-kes yang membabitkan kecurian bekalan elektrik disiasat mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).
Bagaimanapun, sebarang cadangan untuk menggubal atau memperketat akta tersebut adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang menyelia sektor tenaga negara.
Bagi memperkukuh strategi penguatkuasaan, PDRM kini memberikan penekanan serius terhadap aspek pencegahan dan pengesanan awal menerusi peningkatan keupayaan risikan serta teknologi.
Fokus utama adalah untuk mengenal pasti lokasi berisiko tinggi yang menjadi sarang aktiviti haram ini sebelum serbuan dilakukan.
"Kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Berhad, Suruhanjaya Tenaga, pihak berkuasa tempatan dan agensi penguat kuasa lain juga ditingkatkan, terutama bagi perkongsian maklumat, kolaborasi dan penyelarasan tindakan penguatkuasaan," tambah beliau bagi menjawab soalan tambahan mengenai kesediaan kerajaan memperketat kawalan selia kripto.











