ASIA
2 min membaca
PM lancar pasport Malaysia versi baharu dengan 94 ciri keselamatan
Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu menawarkan pilihan tempoh sah laku selama 10 tahun dengan kadar bayaran RM350 bagi warganegara berusia 18 tahun ke atas, manakala tempoh sah laku lima tahun kekal pada harga RM200.
PM lancar pasport Malaysia versi baharu dengan 94 ciri keselamatan
Reka bentuk terbaharu akan menggantikan Bunga Raya dengan rama-rama Rajah Brooke's Birdwing sebagai ikon utama. / Foto: Jabatan Imigresen Malaysia / User Upload

Jabatan Imigresen Malaysia bakal mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu bermula esok, dengan peningkatan drastik kepada 94 ciri keselamatan berbanding 49 ciri sebelum ini.

Dokumen perjalanan berwajah baharu itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Langkah transformasi ini menyepadukan teknologi canggih seperti guilloche, latent image, cetakan pelangi (rainbow printing), modulasi lebar garisan (line width modulation), hologram serta cetakan ultraviolet (UV).

Kesemua elemen visual, tersembunyi dan forensik itu direka khusus untuk memperkukuh perlindungan daripada sebarang cubaan memalsu, mengubah suai atau menyalahgunakan pasport negara.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata, pengenalan versi baharu ini seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan keperluan keselamatan global yang semakin kompleks.

Bagi fasa pertama, pasport ini akan mula dikeluarkan di ibu pejabat dan 14 pejabat negeri sebelum diperluas secara berperingkat sehingga fasa ketujuh.

"Melalui peningkatan ciri keselamatan ini, ia lebih selamat dan sukar dipalsukan. Purata pengeluaran pasport sebulan di negara ini kira-kira 180,000 hingga 220,000 dan dengan adanya versi baharu ini, kadar pengeluarannya dijangka meningkat susulan permintaan tinggi," kata Zakaria.

PMA yang menggunakan struktur baharu ini turut menawarkan pilihan tempoh sah laku selama 10 tahun dengan kadar bayaran RM350 bagi warganegara berusia 18 tahun ke atas, manakala tempoh sah laku lima tahun kekal pada harga RM200.

Selain memberikan penjimatan sebanyak RM50 kepada pengguna berbanding kos pembaharuan pasport lima tahun yang perlu dilakukan dua kali, inisiatif ini juga dijangka mengurangkan kekerapan urusan pembaharuan di kaunter.

Reka bentuk terbaharu ini turut mengangkat identiti nasional dengan memperkenalkan rama-rama Rajah Brooke's Birdwing sebagai ikon utama bagi menggantikan Bunga Raya, sekali gus melambangkan keunikan biodiversiti Malaysia.

Mengulas lanjut, Zakaria menasihatkan orang ramai agar tidak terburu-buru menukar dokumen mereka.

"Saya mohon rakyat Malaysia tidak tergesa-gesa menukar sekiranya pasport sedia ada masih sah tempoh lakunya," tambah beliau.

SUMBER:TRT Global