Hutang isi rumah Malaysia mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.73 trilion atau bersamaan 84.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) setakat akhir Mac 2026.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan, sebahagian besar isi rumah di negara ini bagaimanapun masih mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk memenuhi komitmen kewangan masing-masing.
Katanya, kerajaan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memantau rapi tahap keberhutangan domestik bagi memastikan rakyat mampu mendepani ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut Anwar, median nisbah khidmat hutang (DSR) terkumpul berada pada paras selamat iaitu 33 peratus, manakala nisbah pinjaman terjejas kekal stabil dan rendah pada kadar 1.0 peratus.
"Pertumbuhan hutang terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan, seperti yang dicerminkan oleh median nisbah hutang kepada pendapatan yang stabil pada 1.3 kali. Semua pembiayaan yang diluluskan juga tertakluk kepada Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab oleh BNM sejak 2012," kata Anwar dalam jawapan bertulis Parlimen.
Bagi mengurangkan beban kos sara hidup susulan impak konflik geo-politik di Asia Barat, Perdana Menteri berkata sistem perbankan tempatan kini sedia menawarkan bantuan bayaran balik bersasar.
Inisiatif ini merangkumi langkah penstrukturan semula, penjadualan semula jadual bayaran, serta penangguhan sementara bayaran balik (repayment holiday) khusus untuk golongan yang benar-benar terkesan.
Sebagai pelan jangka panjang, kerajaan turut melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 (NS2.0) menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).
Langkah ini bertujuan membina tabiat kewangan yang mampan, memperkasa pengurusan hutang secara berhemah, serta menggalakkan pembentukan simpanan kecemasan dalam kalangan masyarakat.
"Pendekatan menyeluruh yang merangkumi pendidikan kewangan, sokongan nasihat melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), serta akses bantuan pembiayaan ini penting bagi memastikan isi rumah lebih bersedia menghadapi kejutan ekonomi dan ketidaktentuan global," kata Anwar.














