ASIA
2 min membaca
Malaysia pilih diplomasi tangani isu pelarian Myanmar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu diambil selepas kecaman antarabangsa selama 20 hingga 30 tahun gagal membawa perubahan dasar di Myanmar.
Malaysia pilih diplomasi tangani isu pelarian Myanmar
Majlis Ilmu Madani Bersama Perdana Menteri Anwar Ibraim yang dihadiri pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara. / Facebook/Anwar Ibrahim

Malaysia mengambil pendekatan diplomatik bersama Myanmar bagi menangani isu pelarian dari negara itu yang kini berada di Malaysia, meskipun berdepan kritikan antarabangsa terhadap cara kerajaan mengendalikan krisis berkenaan, menurut laporan Berita Harian.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu bertujuan mencari penyelesaian selepas kritikan dan kecaman terhadap Myanmar selama beberapa dekad terbukti tidak membawa perubahan ketara terhadap dasar negara itu.

Beliau menegaskan bahawa usaha Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Myanmar tidak bermakna Malaysia bersetuju atau menyokong layanan terhadap etnik minoriti Rohingya, sebaliknya ia menjadi saluran untuk mendapatkan kerjasama dalam menangani isu pelarian.

"Jadi, saya fikir jalan ke hadapan adalah cuba menjalinkan hubungan diplomatik dengan Myanmar. Kami tidak mengatakan kami bersetuju dengan pengusiran mereka. Kami tidak mengatakan kami menyokong apa yang telah dilakukan, tetapi saya katakan kita mahu berkawan dengan Myanmar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai pelarian Myanmar dalam sesi soal jawab pada Majlis Ilmu Madani Bersama Perdana Menteri yang dihadiri pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara, pada Rabu.

Menurut Anwar, hasil perbincangan dengan Myanmar menyaksikan persetujuan negara itu untuk membawa pulang sebahagian warganya di Malaysia dengan perbelanjaan sendiri, termasuk menggunakan pesawat dan kapal tentera.

Katanya, seramai kira-kira 10,300 pelarian Myanmar telah dihantar pulang setakat ini, dengan 3,000 lagi dijangka melalui proses penghantaran pulang pada bulan ini. 

Beliau mengakui inisiatif itu merupakan langkah sementara dan masih belum mencukupi untuk menyelesaikan masalah sepenuhnya.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan aspek keselamatan mesti menjadi keutamaan dalam proses penghantaran pulang memandangkan kebimbangan bahawa mereka yang pulang berdepan risiko keselamatan diri. 

Justeru Malaysia telah mendapatkan jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa Myanmar, namun mengakui keupayaannya untuk mempengaruhi keadaan di negara itu adalah terhad, dan akan terus menggunakan saluran diplomatik bagi mengurangkan jumlah pelarian secara berperingkat.