Tadbir urus dan disiplin fiskal kekal menjadi kunci untuk mengukuhkan keyakinan pelabur dan menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih menarik, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata institusi yang kukuh dan peraturan yang adil adalah penting untuk mengekalkan pertumbuhan di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang mengubah corak perdagangan.
"Sebab itulah kerajaan ini telah meletakkan banyak usaha ke dalam tadbir urus dan disiplin fiskal, dan untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih menarik untuk melabur."
"Hasilnya mula kelihatan. Pada separuh pertama tahun ini, Malaysia merekodkan RM218.5 bilion pelaburan yang diluluskan," kata Anwar dalam ucapan khas pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-50 Bursa pada Khamis.
Menurut beliau, syarikat Malaysia mesti meningkatkan rantaian nilai dalam bidang semikonduktor, pembuatan termaju dan teknologi digital, sambil memperkukuh daya saing mereka di pasaran antarabangsa.
Tambahnya, syarikat yang mendapatkan pelaburan awam mesti bertindak jujur, manakala pelabur seharusnya boleh mempercayai institusi yang menyokong pasaran.
"Prinsip asas di sini mudah - syarikat yang meminta rakyat Malaysia melabur di dalamnya mesti berurusan dengan mereka secara jujur.”
“Perniagaan yang baik sepatutnya boleh mengumpul modal dengan syarat yang adil. Rakyat Malaysia yang menyimpan dan melabur sepatutnya boleh mempercayai institusi di sebalik pasaran," katanya.























