Iran telah menarik diri daripada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 pada saat-saat akhir berikutan cabaran logistik yang berpunca daripada konflik di Timur Tengah, menurut laporan New Straits Times.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata, penarikan diri tersebut bukan bermotifkan politik, sebaliknya hasil daripada kesulitan operasi yang melibatkan pergerakan dan penghantaran aset pertahanan mereka.
“Negara Iran pada mulanya menyatakan kesediaan untuk menyertai, namun kali ini syarikat dari negara itu menarik diri kerana cabaran yang mereka hadapi. Jika mereka mahu bergerak atau menghantar produk, sudah tentu ada kesukaran termasuk isu berkait Selat Hormuz dan perkara lain yang memberi kesan kepada logistik mereka,” katanya.
Bercakap dalam sidang media selepas meninjau persiapan akhir di MITEC pada Ahad, Khaled menegaskan DSA kekal sebagai platform neutral dan tidak mencampurkan konflik antarabangsa sebagai sebahagian daripada agenda perbincangan rasmi.
“Kita mahu semua negara melihat keamanan dapat dicapai dan konflik dapat ditamatkan secepat mungkin. Kita tidak meletakkan isu itu sebagai subjek rasmi dalam forum kerana ia boleh menjejaskan proses rundingan yang sedang berlangsung antara pihak terbabit” jelas beliau lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata konflik sedemikian masih dibincangkan secara tidak rasmi dalam mesyuarat dua hala antara pemimpin pertahanan bagi menilai kerelevanan pendekatan pertahanan sedia ada dalam era teknologi baharu.
Pameran DSA dan Natsec Asia 2026 akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis, dengan majlis perasmian bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.










