Seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar akibat limpahan Sungai Bhote Koshi di Daerah Rasuwa, Nepal pada Rabu, menurut Kementerian Luar Negeri.
Wisma Putra berkata angka berkenaan adalah berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan yang dilaporkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.
“Kementerian memahami bahawa gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan terjejas mungkin menyumbang kepada kesukaran untuk menghubungi mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut pihak berkuasa tempatan, banjir berkenaan menyebabkan kerosakan teruk terhadap jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, namun akses ke kawasan terjejas masih terhad.
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama bagi mengesahkan keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia.
“Pada peringkat ini, Kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia,” katanya.
Seorang pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh turut ditempatkan bagi membantu Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, manakala Bilik Operasi di Putrajaya diaktifkan mulai 12 tengah hari Khamis bagi menyelaras maklumat.
Rakyat Malaysia yang terjejas dan ahli keluarga boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di +603 8887 4570 atau menerusi e-mel dutyofficer@kln.gov.my.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia di Nepal, khususnya di kawasan terjejas atau berhampiran, supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.



















