Kualiti udara di Malaysia terus merosot dengan 10 kawasan di Sarawak, Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat 11 pagi Khamis, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Serian mencatat bacaan tertinggi pada 182, diikuti Kuching (171), Samarahan (170), Sri Aman (162), Sarikei (158), Cheras (153), Bintulu (151), Mukah (151), Johan Setia (151) dan Shah Alam (107).
JAS berkata kemerosotan itu berpunca daripada pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah, manakala 55 kawasan lain mencatat kualiti udara sederhana dan tiga kawasan berada pada tahap baik.
Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) pada 14 Ogos, imej satelit mengesan 150 titik panas di Kalimantan dan 11 di Sumatera.
Sebanyak 25 titik panas turut dikesan di Malaysia, iaitu 22 di Sarawak dan tiga di Sabah.
Keadaan cuaca kering dilaporkan berlaku di kebanyakan kawasan selatan Asean, dengan kepulan asap sederhana dikesan berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan.
Susulan keadaan itu, JAS meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan berisiko berlaku pembakaran terbuka serta mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).
“JAS melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa dan tindakan yang akan diambil adalah selaras dengan PTJK yang melibatkan kesemua agensi-agensi berkaitan,” katanya.
Di bawah PTJK, semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta sekiranya bacaan melebihi 200.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula akan mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana jika IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, sementara operasi pembenihan awan boleh dilaksanakan tertakluk kepada keadaan cuaca dan kehadiran awan.
JAS turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan meminta pemilik tanah memantau kawasan mudah terbakar termasuk hutan, tanah gambut, tapak pelupusan sampah dan ladang.
Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan berkaitan boleh membawa denda antara RM25,000 hingga RM1 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.




















