Malaysia sedang mengadakan perbincangan awal untuk memperoleh sistem peluru berpandu jelajah supersonik BrahMos dari India, namun belum membuat keputusan muktamad, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam wawancara bersama NDTV pada Sabtu, Anwar mengesahkan cadangan perolehan itu dibangkitkan ketika pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri India Narendra Modi.
Beliau berkata keputusan akhir akan ditentukan oleh Angkatan Tentera Malaysia berdasarkan keperluan operasi dan teknikal.
“Kami ada membincangkannya, tetapi kebiasaannya pendirian saya adalah menyerahkan perkara itu kepada jabatan atau agensi berkaitan yang mempunyai kepakaran dalam tentera udara untuk meneruskannya,” katanya.
Anwar berkata beliau menyokong perbincangan awal itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.
“Saya memberitahu Perdana Menteri Modi bahawa saya amat menyokongnya kerana hubungan ini dibina atas kepercayaan dan kami mahu memperkukuhnya dalam semua bidang,” katanya.
Beliau turut mengiktiraf keupayaan India yang semakin berkembang dalam sektor pertahanan, ketika Kuala Lumpur dan New Delhi berusaha meluaskan kerjasama melangkaui perdagangan dan pelaburan kepada pertahanan, aeroangkasa serta keselamatan maritim.
BrahMos dibangunkan bersama oleh Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan India (DRDO) dan NPO Mashinostroyeniya dari Rusia menerusi BrahMos Aerospace.
Sistem itu direka untuk melancarkan serangan tepat terhadap sasaran di laut dan darat melalui pelbagai platform.























