Malaysia dan Iran berusaha memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan dalam sektor tenaga, pertanian, minyak sawit, keterjaminan makanan, industri halal, teknologi serta pendidikan tinggi.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian di New Delhi.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha menggalakkan penyertaan syarikat dan pelabur swasta bagi merealisasikan peluang komersial serta pelaburan.
“Kami turut meneroka usaha memperluas perdagangan dan pelaburan Malaysia-Iran, khususnya dalam sektor tenaga, pertanian, minyak sawit, keterjaminan makanan, industri halal, teknologi dan pendidikan tinggi,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook.
Perdagangan dua hala Malaysia-Iran berjumlah RM2.45 bilion pada 2025, dengan eksport Malaysia menyumbang RM2.17 bilion.
Minyak sawit merupakan antara eksport utama Malaysia, manakala import dari Iran merangkumi produk minyak dan gas.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik berlarutan dan ketegangan yang memuncak di Asia Barat serta menggesa semua pihak mengutamakan dialog dan diplomasi.
“Malaysia berpendirian bahawa kebebasan dan keselamatan laluan maritim melalui Selat Hormuz perlu terus dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Selepas mesyuarat dua hala, kedua-dua pemimpin turut mengadakan perbualan empat mata.
“Insya-Allah Malaysia sedia menterjemahkan hubungan persahabatan ini kepada kerjasama yang lebih bermakna dan berterusan demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” kata Anwar.























