DUNIA
1 min membaca
Malaysia dijemput jadi Pengerusi Bersama Kumpulan The Hague
Kumpulan The Hague ditubuhkan pada 31 Januari 2025 oleh beberapa negara, termasuk Malaysia dan Afrika Selatan, untuk menyelaraskan tindakan undang-undang serta diplomatik dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa dan menangani isu Palestin.
Malaysia dijemput jadi Pengerusi Bersama Kumpulan The Hague
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata cadangan itu memerlukan persetujuan Kabinet, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim. / Foto: FB Mohamad Hasan

Malaysia diminta oleh beberapa negara untuk menjadi Pengerusi Bersama Kumpulan The Hague dengan Afrika Selatan bagi menyelaraskan pendirian dan tindakan berhubung pelanggaran undang-undang antarabangsa, kata Menteri Luar Mohamad Hasan seperti dipetik BERNAMA.

“Banyak sangat negara yang mahu kita menjadi pengerusi bersama, pengurus bersama dengan Afrika Selatan, kerana suara Malaysia yang amat lantang di setiap platform ataupun pentas antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Debat Umum Perhimpunan Agung PBB ke-81 di New York, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Mohamad berkata cadangan itu masih memerlukan persetujuan Kabinet, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau turut memaklumkan Malaysia menjadi penaja bersama kumpulan berkenaan kali ini.

Kumpulan The Hague ditubuhkan pada 31 Januari 2025 oleh beberapa negara, termasuk Malaysia dan Afrika Selatan, untuk menyelaraskan tindakan undang-undang serta diplomatik dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa dan menangani isu Palestin.

“Kumpulan The Hague ini ditubuhkan semata-mata untuk melihat dan menyuarakan pendapat negara-negara yang sama pemikiran dengan kita berkenaan pencerobohan serta pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

Mohamad berkata kerjasama dengan negara sehaluan membolehkan Malaysia memperkukuh suaranya di peringkat antarabangsa.

Malaysia turut menggunakan platform G77 dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyelaraskan pendirian serta tindakan bersama.