ASIA
2 min membaca
Anwar: Malaysia komited perkukuh kerjasama serantau demi keselamatan tenaga
Sebagai salah satu negara pengeluar tenaga utama termasuk gas asli cecair (LNG), Anwar berkata Malaysia bertekad untuk terus memainkan peranan konstruktif.
Anwar: Malaysia komited perkukuh kerjasama serantau demi keselamatan tenaga
Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Sanae Takaichi atas penganjuran sidang tergempar tersebut. / Facebook/Anwar Ibrahim
3 jam yang lepas

Malaysia menegaskan pendirian untuk kekal fokus dalam memperkukuh kerjasama serantau melalui komuniti Asia Zero Emission Community (AZEC), Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata.

Langkah itu bertujuan memastikan bekalan tenaga di rantau ini kekal stabil, mencukupi dan berdaya tahan dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik dunia yang semakin mencabar.

Sebagai salah satu negara pengeluar tenaga utama termasuk gas asli cecair (LNG), Anwar berkata Malaysia bertekad untuk terus memainkan peranan konstruktif.

Di samping itu, katanya kerajaan juga sedang giat mempelbagaikan sumber tenaga dengan memfokuskan kepada tenaga boleh baharu bagi memperkukuh sistem tenaga negara selaras dengan agenda pembangunan nasional.

Anwar berkata demikian ketika menyertai Sidang Kemuncak Dalam Talian ‘AZEC Plus Online Summit on Energy Resilience’.

Jemputan khas daripada Kerajaan Jepun itu, katanya, memperlihatkan pengiktirafan terhadap peranan strategik Malaysia dalam peta tenaga Asia.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatnya dari Jepun atas penganjuran sidang tergempar tersebut.

Beliau menyifatkan inisiatif itu amat tepat pada masanya, terutamanya ketika dunia sedang memerhatikan perkembangan konflik di Asia Barat yang memberikan kesan langsung kepada kestabilan laluan perdagangan tenaga global.

"Penghargaan dirakamkan kepada Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi atas penganjuran sidang tergempar pada waktu yang amat kritikal ini, khususnya perkembangan terkini di Asia Barat yang menjejaskan Selat Hormuz."

Tegas Perdana Menteri, situasi di Selat Hormuz menjadi peringatan penting bahawa kestabilan bekalan tenaga adalah nadi kepada ketahanan ekonomi.

Menurut beliau, keutamaan Malaysia adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara melalui jaminan ketersediaan tenaga yang tidak terganggu oleh krisis luar.

SUMBER:TRT Global