Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara melaksanakan inisiatif mengurangkan kadar sewa premis bagi membantu meringankan beban golongan penjaja dan peniaga kecil.
Beliau menegaskan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa, yang meneliti beberapa cadangan dan inisiatif penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan ekonomi negara sepanjang krisis bekalan global.
Menurut Anwar, pendekatan ihsan tersebut telah pun dimulakan oleh Kerajaan MADANI menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Langkah ini dianggap penting bagi membantu peniaga yang kini terhimpit dengan peningkatan kos operasi dan keadaan ekonomi dunia yang mencabar.
"Pendekatan ihsan ini wajar dicontohi oleh PBT lain di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar," kata beliau menerusi satu kenyataan.
Selain isu sewa, mesyuarat MTEN turut membincangkan langkah strategik mendepani ketidaktentuan global, termasuk pembangunan Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global serta penambahbaikan dasar berkaitan bekalan dan harga barangan harian.
Susulan tekanan harga barangan, Anwar turut mengarahkan setiap kementerian menyelaras semula inisiatif dan bantuan bagi memastikan ia sampai kepada kumpulan sasaran.
Beliau memberi jaminan bahawa MTEN akan terus fokus melindungi rakyat, khususnya golongan miskin, rentan dan peniaga kecil daripada terus terbeban akibat kejutan ekonomi global.









