Malaysia menggesa pihak-pihak yang terlibat dalam rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran untuk mencapai satu perjanjian rangka kerja yang inklusif.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah ini penting bagi memperkukuh gencatan senjata sedia ada, sekali gus menjamin keselamatan laluan kapal di Selat Hormuz.
Anwar menegaskan perjanjian sedemikian juga perlu mengambil kira kepentingan keselamatan yang sah bagi semua negara di rantau berkenaan.
"Saya melihat perkembangan ini dengan penuh optimis. Rundingan ke arah perjanjian rangka kerja antara Amerika Syarikat dan Iran, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, kini sedang berada pada trajektori yang progresif," ujar beliau.
Melalui hantaran di laman Facebook rasminya, Anwar turut menzahirkan penghargaan Malaysia terhadap peranan konstruktif yang dimainkan oleh negara-negara serantau seperti Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye, dan Emiriah Arab Bersatu dalam memfasilitasi proses rundingan yang kritikal itu.
Selain itu, beliau turut menyambut baik penglibatan Presiden AS Donald Trump dalam usaha mengejar hasil rundingan yang positif demi kestabilan geopolitik dan ekonomi global yang amat bergantung kepada laluan maritim tersebut.
"Kami juga mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden Trump dalam mengusahakan hasil rundingan ini. Kami berharap semua pihak akan merebut peluang ini dan meneruskan rundingan sehingga mencapai penamatan yang berjaya," katanya lagi.















