Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) berkata ia tidak terlibat dalam rancangan Malaysia untuk menghantar pulang pelarian dari Myanmar, sambil memberi amaran keadaan di negara bergolak itu masih tidak selamat untuk mereka.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memaklumkan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela telah dimuktamadkan, melibatkan 1,476 pelarian yang dijadualkan kembali ke Myanmar pada 29 September.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata Myanmar bersetuju untuk menerima semula 5,000 pelarian Rohingya.
UNHCR berkata konflik bersenjata dan keganasan yang berterusan di Myanmar bermakna keadaan ketika ini tidak membolehkan pelarian kembali secara sukarela dengan selamat, bermaruah dan mampan.
“Di bawah undang-undang antarabangsa yang mengikat semua negara, tiada seorang pun boleh dihantar ke negara di mana hak atau kebebasan mereka mungkin terancam,” kata UNHCR dalam kenyataan kepada Reuters.
“Sebarang penghantaran pulang pelarian mestilah dilakukan secara sukarela, berdasarkan keputusan yang dibuat dengan maklumat yang mencukupi, serta dilaksanakan dalam keadaan selamat dan bermaruah,” katanya, sambil menggesa keperluan perlindungan setiap individu dinilai sebelum mereka dihantar pulang.
Jurucakap KDN enggan mengulas kenyataan UNHCR dan merujuk kepada pendirian kementerian sebelum ini bahawa proses itu dilakukan secara sukarela.
Malaysia merekodkan kira-kira 193,800 pelarian dari Myanmar setakat Februari, termasuk etnik Rohingya dan Chin, menurut data UNHCR.






















