Bank Negara Malaysia (BNM) kekal optimis terhadap prospek ekonomi negara selepas pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengukuh kepada 6% pada suku kedua 2026, berbanding 5.4% sebelum ini.
Menurut BNM, pertumbuhan itu didorong permintaan domestik yang berterusan serta eksport kukuh, khususnya produk elektrik dan elektronik (E&E), selain pemulihan eksport gas asli cecair (LNG) dan produk perkilangan bukan E&E.
“Perbelanjaan isi rumah disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan,” menurut bank pusat itu dalam kenyataan pada Jumaat.
Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan menjadi pemacu utama, dengan pertumbuhan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) disokong peningkatan pengoperasian pusat data.
Sektor perkilangan pula mendapat manfaat daripada permintaan tinggi terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI). Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang 2.5%, berbanding penguncupan 0.01% pada suku pertama.
BNM berkata ringgit secara amnya kekal stabil meskipun berdepan perubahan keadaan kewangan global dan jangkaan pasaran terhadap dasar monetari Amerika Syarikat.
“Ringgit terus disokong oleh asas ekonomi dalam negeri yang kukuh serta momentum pertumbuhan Malaysia yang positif,” katanya. Sehingga 12 Ogos, ringgit susut 0.9% berbanding dolar AS sejak awal tahun, manakala kadar pertukaran efektif nominal (NEER) turun 1%.
Pembiayaan kepada sektor swasta bukan kewangan pula berkembang 6.4% pada suku kedua, dengan pinjaman perniagaan meningkat 7.2% dan bon korporat terkumpul berkembang 8.1%.
Pinjaman isi rumah meningkat 5.3%, disokong pertumbuhan stabil dalam pembiayaan pembelian rumah.
BNM berkata bantuan bersasar turut disediakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdaya maju yang terjejas akibat gangguan susulan konflik di Timur Tengah.
Setakat 7 Ogos, RM2.8 bilion pembiayaan menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS diluluskan kepada lebih 4,900 akaun.
“Prospek ekonomi Malaysia yang positif, di samping pembaharuan struktur yang berterusan dijangka terus menyokong ringgit,” menurut BNM.






















