BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
E-dagang rentas sempadan buka pasaran global kepada PMKS Malaysia
Syarikat yang menyertai program eTRADE 2.0 berjaya menembusi 163 pasaran eksport, termasuk destinasi bukan konvensional seperti Pulau Réunion, Kiribati dan Nauru.
E-dagang rentas sempadan buka pasaran global kepada PMKS Malaysia
(FAIL) Program eTRADE 2.0 dilaporkan merekodkan jualan eksport bernilai RM438.7 juta. / AP

E-dagang rentas sempadan kini mula menjadi pintu masuk penting bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia menembusi pasaran global, dengan program eTRADE 2.0 merekodkan jualan eksport RM438.7 juta, menurut laporan New Straits Times.

Program yang diterajui MATRADE itu telah membantu lebih 2,000 PMKS menerusi geran, latihan, bimbingan teknikal dan pembangunan kapasiti.

Syarikat yang menyertai program itu berjaya menembusi 163 pasaran eksport, termasuk destinasi bukan konvensional seperti Pulau Réunion, Kiribati dan Nauru.

“ASEAN kekal sebagai destinasi eksport utama, dengan kira-kira 30 peratus syarikat yang mengambil bahagian berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di rantau ini,” menurut dapatan kajian impak eTRADE 2.0.

Antara kategori produk yang mencatat prestasi terbaik ialah makanan sedia dimakan, minuman, produk farmaseutikal dan kosmetik, barangan isi rumah serta produk plastik.

Sekurang-kurangnya 852 produk baharu turut disenaraikan di platform e-dagang antarabangsa, manakala 661 peluang pekerjaan diwujudkan dalam kalangan syarikat peserta.

Alibaba.com pula merekodkan nilai jualan eksport tertinggi dalam kalangan platform e-dagang rentas sempadan yang digunakan penerima manfaat program itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Abu Bakar Yusof berkata eTRADE 2.0 membuktikan pendekatan berteraskan digital mampu meningkatkan daya saing PMKS, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh rantaian bekalan domestik.

“Kajian impak ini bukan sahaja memberikan gambaran mengenai keberkesanan program eTRADE 2.0, malah menyediakan input strategik kepada MATRADE dalam merangka intervensi pembangunan eksport digital yang lebih bersasar, inklusif dan mampan,” katanya.

Susulan kejayaan eTRADE 2.0, katanya MATRADE akan terus memperkukuh ekosistem e-dagang rentas sempadan menerusi program eBizLink 2.0, dengan tumpuan kepada peluasan akses pasaran antarabangsa, peningkatan keupayaan PMKS, pembangunan ekosistem perdagangan digital serta pengukuhan kerjasama strategik dengan platform e-dagang global.