ASIA
2 min membaca
Tragedi bot karam: Lebih 500 pelarian Rohingya dikhuatiri maut di perairan Myanmar
Saban tahun, ratusan etnik minoriti Muslim Rohingya terpaksa mempertaruh nyawa menaiki bot kayu yang usang untuk melarikan diri daripada keganasan di negara mereka dan kemiskinan di Bangladesh, dan menuju ke Malaysia, Indonesia atau Thailand.
Tragedi bot karam: Lebih 500 pelarian Rohingya dikhuatiri maut di perairan Myanmar
(FAIL) Pelayaran malang itu turut membawa pelarian yang sebelum ini bersesak di kem perlindungan Cox's Bazar, Bangladesh. / AFP

Lebih 500 pelarian, majoritinya etnik Rohingya, dikhuatiri maut selepas dua buah bot yang sarat dengan penumpang dipercayai karam di luar pantai Myanmar beberapa hari lalu.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat pendedahan ini ketika ramai pelarian terus menggadai nyawa meredah lautan bagi mencari perlindungan.

Menurut kenyataan bersama Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan Agensi Pelarian PBB (UNHCR), kedua-dua bot berkenaan dilaporkan berlepas dari Rakhine, Myanmar pada akhir Jun lalu.

Pelayaran malang itu turut membawa pelarian yang sebelum ini bersesak di kem perlindungan Cox's Bazar, Bangladesh.

"Walaupun insiden dan jumlah sebenar mangsa masih belum disahkan secara rasmi, UNHCR dan IOM amat bimbang dengan potensi kehilangan nyawa yang amat dahsyat ini," menurut kenyataan agensi berkenaan.

Siasatan awal mendedahkan bot pertama yang membawa kira-kira 250 penumpang telah terputus hubungan sejurus berlepas.

Sementara itu, bot kedua yang sarat dengan hampir 280 orang pula dipercayai karam di luar pantai Ayeyarwady, Myanmar pada 8 Julai lalu akibat keadaan laut yang bergelora.

PBB mendedahkan pelayaran itu sengaja dilakukan di luar musim pelayaran biasa, ketika keadaan cuaca dan lautan dilaporkan berada pada tahap paling berbahaya.

Saban tahun, ratusan etnik minoriti Muslim Rohingya terpaksa mempertaruh nyawa menaiki bot kayu yang usang untuk melarikan diri daripada keganasan di negara mereka dan kemiskinan di Bangladesh, dan menuju ke Malaysia, Indonesia atau Thailand.

Tragedi terbaharu ini memanjangkan lagi senarai hitam krisis kemanusiaan di negara itu.

PBB melaporkan hampir 300 orang, termasuk pelarian Rohingya dan warga Bangladesh, dilaporkan hilang atau maut di Laut Andaman serta Teluk Benggala sepanjang tahun ini sahaja.

SUMBER:Reuters