ASIA
1 min membaca
DNA waris 52 rakyat Malaysia hilang di Nepal sudah diperoleh
Wakil Solidariti Malaysia: Famili Dalam Harapan (MASFIH), R Manivannan berkata pihak berkuasa kini sedang berusaha mendapatkan baki tiga sampel bagi melengkapkan proses berkenaan.
DNA waris 52 rakyat Malaysia hilang di Nepal sudah diperoleh
(FAIL) Mangsa banjir menunggu untuk menaiki helikopter di kem Trishuli, Nuwakot di Nepal pada 29 Ogos 2026. / AFP

Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris kepada 52 daripada 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal sudah diperoleh setakat Khamis, menurut laporan Berita Harian.

Wakil Solidariti Malaysia: Famili Dalam Harapan (MASFIH), R Manivannan berkata pihak berkuasa kini sedang berusaha mendapatkan baki tiga sampel bagi melengkapkan proses berkenaan.

“Setakat semalam, sampel DNA waris bagi 52 daripada 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi sudah diperoleh,” katanya.

Menurut Manivannan, usaha mengumpulkan semua sampel DNA itu pada awalnya disasarkan untuk diselesaikan minggu ini dan setakat ini proses berkenaan berjalan mengikut jadual.

Bagaimanapun, beliau berkata tempoh untuk mendapatkan baki sampel bergantung kepada usaha menghubungi waris terbabit.

“Saya tak dapat komen sebab bergantung kepada waris boleh dihubungi atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dikesan susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos.

Maklumat mengenai mereka diterima daripada agensi pelancongan dan sedang dikumpul serta disahkan oleh Kedutaan Malaysia di Kathmandu.