ASIA
1 min membaca
MERCY Malaysia hantar pasukan kemanusiaan bantu mangsa banjir Nepal
Presidennya Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Chitwan dikenal pasti sebagai antara daerah paling teruk terjejas, di mana ramai mangsa dipercayai masih terputus hubungan akibat kerosakan jalan raya dan jambatan.
MERCY Malaysia hantar pasukan kemanusiaan bantu mangsa banjir Nepal
(FAIL) Banjir lumpur besar yang melanda beberapa daerah di Nepal pada 26 Ogos lalu dilaporkan telah meragut lebih 1,000 nyawa. / AFP

MERCY Malaysia menghantar pasukan kemanusiaan ke Nepal bagi menilai situasi dan keperluan mangsa banjir lumpur yang melanda beberapa daerah di negara itu pada 26 Ogos lalu.

Presidennya Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Chitwan dikenal pasti sebagai antara daerah paling teruk terjejas, di mana ramai mangsa dipercayai masih terputus hubungan akibat kerosakan jalan raya dan jambatan.

“Ini menjadikan usaha memulihkan akses sebagai perkara kritikal supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Ahmad Faizal, keutamaan pasukan merangkumi operasi mencari dan menyelamat, penyediaan tempat perlindungan kecemasan, makanan, air bersih dan sanitasi serta penjagaan kesihatan.

Sokongan perlindungan, kesihatan mental dan psikososial turut akan diberikan, khususnya kepada keluarga yang berpindah, kumpulan rentan dan mereka yang kehilangan ahli keluarga.

“MERCY Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti terjejas bagi memastikan sebarang intervensi adalah berasaskan keperluan, teratur dan peka terhadap perkembangan situasi semasa,” katanya.

Beliau berkata fasa respons seterusnya akan ditentukan berdasarkan hasil penilaian dan koordinasi dengan pihak berkuasa serta pertubuhan kemanusiaan lain.

“Kami menggesa tindakan kolektif dan solidariti berterusan diberikan bagi menyokong komuniti yang terjejas akibat banjir ekstrem ini,” katanya.

SUMBER:TRT Global