Dua warga Amerika Syarikat disahkan antara 19 individu yang terbunuh dalam satu serbuan ke atas kubu kuat pemberontak komunis di Filipina.
Insiden yang berlaku di perbandaran Toboso, Pulau Negros itu kini disiasat suruhanjaya hak asasi manusia Filipina selepas jumlah kematian yang tinggi menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Pasukan petugas kerajaan mengesahkan mangsa warga AS tersebut sebagai Lyle Prijoles dan Kai Dana-Rene Sorem.
"Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Menamatkan Konflik Bersenjata Komunisme Tempatan (NTF-ELCAC) mengambil maklum pengesahan warga Amerika kedua yang terbunuh dalam pertempuran bersenjata pada 19 April 2026 itu," lapor kenyataan tersebut pada Sabtu.
Kesemua 19 individu yang maut diklasifikasikan oleh pihak berkuasa sebagai "anggota tempur" Tentera Rakyat Baharu (NPA).
Kumpulan pemberontak tersebut telah melancarkan pemberontakan bersenjata selama hampir 60 tahun di negara itu.
Walaupun nama Prijoles telah didedahkan sejurus selepas kejadian, identiti Sorem hanya disahkan kemudian. Pihak Kedutaan AS masih belum memberikan ulasan rasmi.
Pertempuran itu turut menyebabkan lebih 300 penduduk di kawasan penanaman tebu yang terpencil itu melarikan diri dari rumah masing-masing selepas berlakunya insiden berbalas tembakan.
Memandangkan hanya seorang askar yang cedera berbanding angka kematian pemberontak yang besar, beberapa pihak termasuk ahli politik dan pemerhati hak asasi manusia mula mendesak agar siasatan telus dijalankan.
Ahli Kongres Leila de Lima menegaskan operasi ketenteraan oleh Batalion Infantri ke-79 Tentera Filipina itu memerlukan siasatan segera, terutama dengan laporan kematian seorang pelajar muda dan wartawan komuniti dalam serbuan tersebut.
Badan pemantau hak asasi tempatan, Karapatan, turut mempersoalkan etika operasi Angkatan Tentera Filipina (AFP) berdasarkan jumlah mangsa yang terkorban.
Walau bagaimanapun, pihak tentera menafikan dakwaan berlaku pembunuhan beramai-ramai dan menegaskan ia adalah pertempuran bersenjata yang sah.
Jurucakap Tentera Filipina Kolonel Louie Dema-ala berkata pihaknya terbuka kepada siasatan dan yakin bahan bukti di lokasi kejadian akan menyokong tindakan mereka.
Pihak tentera turut melaporkan rampasan 24 laras senjata api dalam operasi memburu saki-baki anggota NPA di wilayah tengah Filipina itu.












