Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Andy Burnham atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang baharu, sambil menyuarakan komitmen Malaysia untuk memperkasa perkongian strategik kedua-dua negara.
Menurut Anwar, kerajaan Malaysia berhasrat untuk memperkukuh kerjasama strategik menerusi pementeraian Perjanjian Perdagangan Digital, selain meneroka potensi baharu dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, tenaga bersih dan pertahanan.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memuji keterbukaan kepimpinan baharu Britain itu berhubung isu ketegangan di Timur Tengah, terutamanya pendirian yang lebih tegas mengenai krisis kemanusiaan di wilayah Gaza.
"Saya tersentuh dengan pengakuan Burnham baru-baru ini bahawa tindak balas awal Britain terhadap penderitaan di Gaza adalah tidak mencukupi, serta gesaan beliau agar tekanan lebih kuat dikenakan ke atas rejim Israel. Dalam keadaan ramai pihak di Barat bergelut untuk menunjukkan kejelasan moral, pengakuan itu merupakan satu langkah awal yang amat dialu-alukan," tegas Anwar.
Ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Malaysia dan UK yang bakal disambut tahun hadapan dijangka menjadi platform terbaik untuk menyegarkan kembali komitmen perkongsian sejarah serta menentukan hala tuju kerjasama strategik kedua-dua belah pihak, kata Anwar.
Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan kepada mantan Perdana Menteri UK, Keir Starmer, atas sumbangan dan peranan beliau dalam memperkukuh jalinan diplomatik sepanjang tempoh perkhidmatannya.













