BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
Anwar bertemu syarikat teknologi China, bincang pelaburan berpotensi di Malaysia
Perbincangan tertumpu kepada industri semikonduktor dan elektronik termaju, komunikasi optik, serta teknologi bateri dan penyimpanan tenaga yang semakin mendapat perhatian dalam transformasi ekonomi global.
Anwar bertemu syarikat teknologi China, bincang pelaburan berpotensi di Malaysia
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan beberapa siri pertemuan dengan syarikat-syarikat terkemuka dan berteknologi tinggi dari China. / Facebook/Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat teknologi dan pembuatan elektronik berkaitan China, Fastprint dan Fastrain, pada Rabu bagi membincangkan perkembangan semasa serta cadangan pelaburan di Malaysia.

Pertemuan itu berlangsung di sela-sela Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026 yang menghimpunkan pemimpin dan pemain industri utama dari rantau Asia-Pasifik.

Perbincangan tertumpu kepada industri semikonduktor dan elektronik termaju, komunikasi optik, serta teknologi bateri dan penyimpanan tenaga yang semakin mendapat perhatian dalam transformasi ekonomi global.

Menurut Anwar, sektor-sektor berkenaan menawarkan peluang besar kepada Malaysia untuk memperkukuh keupayaan pembuatan dan kejuruteraan negara, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi digital serta peralihan kepada sumber tenaga yang lebih mampan.

Beliau berkata setiap pelaburan yang dibawa masuk perlu memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui pembukaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi dan peningkatan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan.

"Kita juga perlu memperkukuh kerjasama dengan universiti serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan industri," katanya.

Anwar berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan meneruskan libat urus dengan syarikat-syarikat berkenaan dan agensi berkaitan bagi memudah cara pelaksanaan projek serta memastikan komitmen pelaburan diterjemahkan kepada pembangunan industri dan peluang ekonomi.

SUMBER:TRT Global