ASIA
1 min membaca
UNHCR henti pendaftaran pelarian di Malaysia, kerajaan ambil alih
Agensi itu akan meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai cadangan pelan peralihan bagi memastikan perlindungan pelarian dan pencari suaka kekal terjamin.
UNHCR henti pendaftaran pelarian di Malaysia, kerajaan ambil alih
(FAIL) UNHCR henti pendaftaran pelarian di Malaysia, kerajaan ambil alih. / Reuters (Wire)

Agensi Pelarian PBB (UNHCR) menghentikan semua aktiviti pendaftaran dan dokumentasi pelarian serta pencari suaka di Malaysia mulai semalam, susulan keputusan kerajaan mengambil alih proses tersebut, menurut laporan New Straits Times.

“UNHCR akan terus memberikan nasihat teknikal, berkongsi kepakaran dan bekerjasama dengan kerajaan sepanjang proses peralihan,” menurut agensi itu dalam kenyataan.

Bagaimanapun, UNHCR menegaskan operasinya di Malaysia tidak ditutup.

“Bersama rakan-rakan kongsi, kami akan meneruskan aktiviti lain, termasuk penempatan semula, serta memberikan sokongan kepada pelarian dan pencari suaka yang mempunyai keperluan perlindungan mendesak,” katanya.

Agensi itu turut meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai cadangan pelan peralihan bagi memastikan perlindungan pelarian dan pencari suaka kekal terjamin.

Awal minggu ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan mengambil alih pendaftaran dan pengurusan data pelarian secara berperingkat melalui Jabatan Imigresen.

Menurut beliau, langkah itu membolehkan kerajaan memiliki rekod data yang disahkan dan menyeluruh tanpa bergantung kepada entiti luar.