Malaysia kini semakin dihormati dan mempunyai imej positif di peringkat antarabangsa, mencerminkan kedudukan serta peranan negara yang semakin menonjol di persada dunia, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa pengiktirafan itu bukan ditujukan kepada dirinya, anggota Jemaah Menteri atau mana-mana parti politik, sebaliknya kepada Malaysia sebagai sebuah negara, menurut laporan BERNAMA.
“Ini bukan mengenai Anwar, menteri-menteri kita atau wakil parti politik. Penghormatan yang diterima Malaysia ketika ini amat menggalakkan, Alhamdulillah,” katanya ketika berucap pada Pesta Melaka Rumah Kita di Taman Melaka Perdana, pada Khamis.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata perkembangan berkenaan turut dapat dilihat menerusi jadual lawatan pemimpin asing ke Malaysia yang semakin padat, selain beberapa siri mesyuarat antarabangsa yang akan disertainya dalam beberapa minggu akan datang, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN di Manila.
“Dua hari selepas saya kembali ke Malaysia, Presiden Perancis, Emmanuel Macron akan tiba di Kuala Lumpur. Selepas itu, saya akan kembali ke Manila untuk menghadiri mesyuarat bersama pemimpin ASEAN, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,” katanya.
Anwar berkata beliau turut dijadual menghadiri mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen, China, yang turut membuka ruang untuk beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping.






















