Gempa bumi kuat bermagnitud 9.2 yang melanda pesisir pantai Sumatra pada tahun 2004 dikesan menyebabkan penurunan paras tanah secara berperingkat di Singapura, Malaysia dan Thailand dalam tempoh beberapa tahun selepas bencana itu berlaku, menurut laporan Straits Times.
Kaji selidik terbaharu mendapati pergerakan struktur bawah tanah itu berlaku walaupun kawasan-kawasan berkenaan terletak lebih 600 kilometer dari pusat gempa.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal saintifik Communications Earth & Environment itu mendedahkan bahawa pergerakan tersebut ada kaitan dengan lapisan mantel di bawah kerak Bumi di kawasan Sumatran backarc.
Kelonggaran pada lapisan mantel bahagian atas menyebabkan bahan batuan panas di bawah beralih secara perlahan sekali gus mengakibatkan kerak Bumi di negara-negara terlibat mengalami penurunan.
"Apabila gempa bumi besar melanda, ia bukan sahaja menggegarkan bumi selama beberapa minit. Ia turut mencetuskan pelarasan perlahan di lubuk Bumi yang boleh berterusan selama bertahun-tahun," kata ketua penulis kajian tersebut, Grace Ng.
Penyelidik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) menganalisis data pergerakan tanah selama dua dekad daripada stesen Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS) di ketiga-tiga negara berkenaan.
Sebelum ini, satu kajian pada tahun 2025 turut mendapati tiga gempa bumi paling kuat di Sumatra menyebabkan Singapura tenggelam pada kadar 2.2 milimeter setahun antara Disember 2004 dan April 2012.
Pakar memberi amaran unjuran risiko banjir di kawasan pesisir pantai yang rendah boleh berubah sekiranya pergerakan menegak tanah (VLM) ini tidak diambil kira dalam rancangan adaptasi perubahan iklim.
Saintis kanan kajian tersebut, Profesor Emma Hill, menegaskan kebanyakan unjuran paras laut semasa hanya menumpukan kepada faktor iklim seperti pencairan ais dan pemanasan lautan.
"Kajian baharu kami menunjukkan bahawa penurunan tanah pasca-gempa bumi merupakan faktor penting dalam perubahan relatif paras laut serantau. Memasukkan pergerakan geologi dalaman ini ke dalam model kita akan membantu menambah baik perancangan pesisir pantai bagi bandar-bandar yang rendah," jelas Profesor Hill.
















