Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan sokongan Malaysia terhadap kedaulatan Qatar serta mengecam serangan ke atas kemudahan Gas Asli Cecair (LNG) Ras Laffan yang kritikal kepada ekonomi global.
Sokongan itu disuarakan Anwar semasa perbualan telefon bersama rakan sejawatnya di Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.
“Saya telah mengadakan perbualan telefon bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dalam suasana Aidilfitri yang penuh makna. Kami bertukar ucapan serta menzahirkan keprihatinan terhadap situasi keselamatan di Asia Barat yang kian meruncing,” kata Anwar dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam perbualan tersebut, Anwar turut merakamkan ucapan takziah berhubung tragedi nahas helikopter yang mengorbankan nyawa anggota Angkatan Tentera Qatar serta warga Türkiye.
Beliau menyatakan solidariti Malaysia buat keluarga mangsa yang terlibat dan menghargai komitmen Qatar dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkesan di sana.
“Malaysia menegaskan sokongan terhadap kedaulatan Qatar serta mengecam serangan ke atas kemudahan LNG Ras Laffan yang kritikal kepada ekonomi global.
Dialog dan saluran diplomasi, kata Anwar, perlu segera diutamakan bagi mengelakkan konflik terus memuncak, demi menjamin keamanan sejagat dan kestabilan rantau berkenaan.
“Moga keamanan di Asia Barat dapat segera dipulihkan, Insya-Allah,” tambahnya lagi.

















