DUNIA
2 min membaca
Malaysia gesa Lubnan dimasukkan dalam gencatan senjata Asia Barat, kata Anwar
Anwar turut menzahirkan penghargaan dan sokongan berterusan kerajaan Lubnan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan anggota MALBATT di bawah UNIFIL agar mereka dapat terus melaksanakan tugas dengan berkesan dalam suasana mencabar.
Malaysia gesa Lubnan dimasukkan dalam gencatan senjata Asia Barat, kata Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap situasi keselamatan yang semakin meruncing di selatan Lubnan. / Facebook/Anwar Ibrahim
13 jam yang lepas

Malaysia menggesa peluasan gencatan senjata merangkumi Lubnan, memandangkan negara itu terjejas teruk dengan kira-kira satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal, selain lebih 1,000 mangsa terkorban.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap situasi keselamatan yang semakin meruncing di selatan Lubnan dan ketegangan serantau yang kian meningkat.

Dalam satu hantaran di laman Facebook pada Rabu, Anwar berkata pendirian itu disampaikan terus kepada Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam menerusi perbualan telefon.

“Saya menegaskan sokongan Malaysia terhadap kedaulatan Lubnan, mengutuk serangan ke atas infrastruktur awam, serta menyeru semua pihak untuk meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog, di samping menyentuh situasi kemanusiaan yang semakin mendesak,” katanya.

Selain membincangkan isu keselamatan, Anwar turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan salam Aidilfitri kepada rakan sejawatnya itu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan sokongan berterusan kerajaan Lubnan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan anggota MALBATT di bawah UNIFIL agar mereka dapat terus melaksanakan tugas dengan berkesan dalam suasana mencabar.

“Mengakhiri perbualan, saya menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Lubnan dan rakan antarabangsa dalam memulihkan keamanan dan kestabilan serantau,” tambahnya.

Laporan media mendedahkan tentera Israel telah melancarkan serangan udara dan darat di selatan Lubnan susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Hezbollah pada 2 Mac lalu.

Setakat ini, pihak berkuasa Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 1,039 orang maut, manakala 2,876 lagi mengalami kecederaan akibat serangan rejim ganas tersebut.

SUMBER:TRT Global